Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Ketua penolong pengarah badan berkanun ditahan reman berkait rasuah RM146,000

PUTRAJAYA – Seorang lagi ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas penahanan lapan individu Selasa lalu kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.6 bilion.

Individu yang direman hari ini adalah ketua penolong pengarah sebuah badan berkanun yang dipercayai menerima rasuah lebih RM146,000 sebagai dorongan mendapatkan kerja-kerja bagi projek lebuh raya berkenaan.

Perintah reman selama empat (4) hari sehingga 1 Julai 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 10 malam tadi.

Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya.

Sementara itu, Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman empat suspek termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bermula 29 Jun hingga 2 Julai 2024.

Selasa lalu, SPRM menahan reman tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya termasuk seorang CEO selama empat hari selain menahan reman seorang lagi pegawai syarikat berkenaan selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat yang mengambil alih kerja-kerja di dua projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang masing-masing bernilai lebih RM1 bilion dan kira-kira RM670 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman seorang lagi suspek serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button