Kabinet setuju lulus Garis Panduan Perancangan Pusat Data – Kor Ming
CYBERJAYA – Jemaah menteri meluluskan penggunaan Garis Panduan Perancangan (GPP) Pusat Data yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, garis panduan tersebut bertujuan menyeragamkan dan mempermudah proses permohonan serta kelulusan perancangan oleh pihak berkepentingan.
“GPP ini menyokong inisiatif kerajaan untuk mempermudah urusan industri pusat data dan melengkapkan keseluruhan ekosistem pembangunan pusat data,” katanya selepas melancarkan GPP Pusat Data di sini, hari ini.
Menurut beliau, garis panduan itu merangkumi panduan perancangan tapak, prosedur permohonan pelan pemajuan serta kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan.
Katanya, ia terpakai bagi pembangunan pusat data yang melebihi satu megavolt amperes (MVA) di kawasan baharu atau bangunan sedia ada.
Kor Ming turut menegaskan bahawa pelancaran GPP itu bertujuan memperkukuhkan pembangunan infrastruktur digital negara dengan pembinaan pusat data di lokasi strategik mengikut zon guna tanah yang ditetapkan.
“Ini penting bagi memastikan pengagihan sumber untuk keperluan domestik tidak terjejas,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa antara langkah yang diambil dalam garis panduan itu ialah kawalan perancangan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pembangunan pusat data hanya dibenarkan di zon komersial dan industri, manakala zon penampan akan diwujudkan bagi pusat data berhampiran kawasan perumahan untuk mengelakkan gangguan bunyi kepada penduduk.
“Garis panduan itu seiring dengan strategi Malaysia untuk menarik pelabur asing dalam sektor digital. Kita kini menjadi destinasi pelaburan syarikat besar seperti Amazon, Google dan Oracle,” katanya lagi.
Kor Ming optimis Malaysia mampu menjadi hab pusat data terbesar di ASEAN dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, dengan keperluan tenaga dijangka mencecah empat gigawatt.
Beliau turut memaklumkan bahawa garis panduan tersebut akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-84 pada 14 November nanti untuk rundingan dan penerimaan oleh pihak berkuasa negeri dan PBT di seluruh negara.
“Buku garis panduan akan diedarkan kepada 156 PBT mulai hari ini dan ia juga boleh diakses melalui laman web PLANMalaysia,” katanya lagi.
Untuk rekod, setakat Mei 2024 sebanyak 32 pusat data sedang beroperasi di Malaysia, manakala 19 lagi dalam pembinaan dengan lokasi utama di Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Johor.