Kerajaan sedang teliti keperluan rasionalisasi subsidi RON95 – Rafizi
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu sehingga penyasaran subsidi itu menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.
Katanya, dalam masa yang sama, penelitian itu untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.
“Jika rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan yang terkesan akan diberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya memetik laporan BH Online.
Terdahulu Rafizi beliau menjawab soalan bertulis Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) di Dewan Rakyat mengenai bila subsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022 dan adakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan tahun ini, selain jaminan kerajaan yang harga barang tidak akan terus meningkat selepas subsidi bersasar dilaksanakan.
Rafizi menjelaskan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi juga akan membantu kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.
“Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program dan projek yang lebih memberi manfaat serta benar-benar diperlukan rakyat, seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial dan kemudahan awam, termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan,” katanya.