
Kerajaan negeri kutuk keganasan, ekstremisme
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme yang mengorbankan dua wira negara, awal pagi Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 hari ini berkata, kerajaan negeri berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memerangi keganasan dan ekstremisme.
“Sebelum saya memulakan penggulungan seperti yang kita semua maklum, awal pagi Jumaat lalu kita digemparkan dengan insiden yang amat mendukacitakan.
“Satu serangan terhadap Balai Polis Uli Tiram telah dibuat dan ia mengorbankan dua anggota polis dan cederakan seorang lagi anggota.
“Kerajaan Johor kutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme apatah lagi korbankan insan tak berdosa terutama wira negara.
“Kerajaan Johor berdiri teguh bersama PDRM dalam usaha memerangi keganasan dan ekstremisme. Kita akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya insiden sebegini tak berulang lagi di Johor,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz turut memohon dewan bertafakur dengan menghadiahkan al-Fatihah ke atas gugurnya dua wira negara berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, dua anggota polis yang terkorban adalah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, yang parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |