Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Guru besar direman atas tuduhan tuntutan palsu RM125,000

BINTULU – Seorang guru besar ditahan reman atas tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM125,000 berkait pembekalan makanan ke asrama sebuah sekolah di daerah ini.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira pukul 9.30 malam pada 24 Jun lalu di sebuah sekolah di daerah ini.

Susulan penahanan itu, suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret Bintulu pada 25 Jun 2024 dan perintah reman selama enam (6) hari bermula dari 25 hingga 30 Jun 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Galvin Loo Wei Ling.

“Siasatan awal mendapati suspek bersubahat dengan sebuah syarikat ketika membuat tuntutan palsu berkait pembekalan makanan ke asrama sebuah sekolah di daerah ini yang bernilai kira-kira RM125,000 sedangkan kuantiti bekalan tidak sama dengan jumlah sebenar yang dibekalkan,”katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button