
Ruang penempatan sementara bahan binaan Skypark Kondominium terbakar
CYBERJAYA – Insiden kebakaran di Kondominium Skypark, di sini semalam berlaku di ruangan penempatan sementara bahan binaan yang terletak di aras bawah bangunan berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kebakaran tersebut melibatkan kawasan berkeluasan 49,800 meter persegi.
“Proses pemadaman dilaksanakan menerusi kaedah RECEO yang melibatkan empat aliran dengan tujuh pancutan.
“Pemadaman dilakukan secara defensif dan ofensif sehingga kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya,” kata JBPM dalam kenyataan tersebut.
Selain anggota dari Balai Bomba Cyberjaya, turut terlibat dalam operasi pemadaman tersebut anggota dari Balai Bomba Dengkil, Puchong dan Bangi.
Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 6.30 petang semalam.