Tourism Malaysia tawar pakej lawatan ke 52 lokasi bersejarah termasuk tapak arkeologi Lembah Bujang, Sungai Batu
KEPALA BATAS – Tourism Malaysia melancarkan Pakej Arkeopelancongan
dan Geopelancongan bagi negeri Pulau Pinang dan Kedah untuk mempromosikan produk pelancongan arkeologi, geologi dan tapak warisan dunia UNESCO.
Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah berkata, sebanyak 52 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 14 operator pelancongan di Wilayah Utara dan Wilayah Tengah yang antara lain menawarkan lawatan ke tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu, tapak warisan dunia UNESCO George Town, Jerai Geopark serta Sungai Merbok.
“Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah Jerai Geopark Heritage Trail, The Lost Ancient City Kedah Tua, Archaeology Eco Cycling Experience, Penang Heritage Tour, Merbok River Historical dan Mangrove River Cruise, Mount Jerai Guided Tour dan Iron of Ancient Kedah to the World- The Untold Story 788 BC,” katanya.
Beliau berkata, penawaran pakej tersebut diharap mampu mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang dan Kedah kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya tempatan selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan penglibatan masyarakat setempat, seterusnya menjana pendapatan kepada mereka.
“Pembangunan pakej pelancongan ini juga adalah sebahagian usaha Tourism Malaysia untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026” katanya.
Dalam pada itu katanya, pembangunan Pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah adalah susulan daripada bengkel dan lawatan produk selama 5 hari 4 malam yang diadakan pada 5 hingga 9 Ogos lalu.
Beliau berkata, bengkel berkenaan telah memberikan banyak pendedahan mengenai potensi pelancongan di tapak-tapak arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town serta produk pelancongan menarik.
Sementara itu katanya, kesemua pakej pelancongan ini telah dimuatkan dalam sebuah risalah Pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah yang kini boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune