Orang asli maut dipijak gajah di RPS Kemar
GERIK – Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai dipijak gajah ketika masuk ke kebun untuk mencari kayu api di Kampung Lerlar, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini, semalam.
Mangsa berusia 65 tahun itu dikatakan dipijak oleh gajah liar berkenaan selepas terserempak dengan mamalia itu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu disedari oleh anak perempuan mangsa setelah mendengar jeritan bapanya dan teriakan gajah dari arah kebun.
“Setelah keadaan reda, wanita berusia 44 tahun itu ditemani abang iparnya telah ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.
“Saksi juga mendakwa melihat gajah berkenaan masih berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.