Berita Semasa

Laluan LRT antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya ditutup dua minggu

PELABUHAN KLANG – Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) di antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya di ibu negara akan ditutup selama dua minggu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur jejambat LRT itu yang mengalami keretakan dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kadar segera.

“Kedua-dua stesen ini tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja ditutup,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan gudang Infinity Freight Village 5, di sini hari ini.

Bagi memudahkan penumpang perkhidmatan ketika tempoh penutupan tersebut, kata Anthony, orang ramai boleh menggunakan ‘shuttle bus’ yang disediakan.

“Proses pembaikan ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur selamat digunakan, manakala fasa panjang adalah bagi memastikan struktur itu kukuh,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, laluan kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan berpuas hati dengan keselamatan di laluan tersebut.

“Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang,” katanya.

Sebelum ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan memberitahu, terdapat kerosakan struktur jejambat berhampiran stesen tersebut akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button