Jenayah & Mahkamah

Tiga terbunuh insiden bot penumpang bertembung

LUMUT – Tiga individu dilaporkan terbunuh dalam kejadian pelanggaran melibatkan dua buah bot di perairan Lumut Pangkor, berdekatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, sebuah bot dengan 17 penumpang dan seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor, berlanggar dengan sebuah bot dengan dua penumpang dan seorang tekong dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta dibantu TLDM, melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat pada pukul 9.17 malam.

“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang daripada bot dari arah Lumut ke Pulau Pangkor terjatuh ke dalam laut tetapi berjaya diselamatkan tekong bot terbabit.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, polis menerima makluman daripada HAT, tiga mangsa wanita berusia di antara 26 hingga 43 tahun meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

“Seorang lagi wanita berumur 43 tahun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 17 orang mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut setaka ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button