Ranking WCR jatuh: MITI akan beri penjelasan – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Isu berhubung kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 akan dijelaskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah memaklumkan kepadanya dan akan memberi penjelasan lanjut berkaitan perkara itu.
“Jadi beri sedikit masa kepada pasukan MITI untuk mengkaji apa yang dimaksudkan dan apa yang berlaku kerana realitinya tahun ini kita menyaksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi terutama dalam sektor semikonduktor, sektor data center dan juga dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Jadi kita perlu menyerahkan kepada MITI untuk menjawab dengan lebih sempurna,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Microsoft Malaysia dan pelancaran MCMC Microsoft AI Teach: Skills for AI-enabled economy.
Terdahulu, WCR 2024 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) melaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga sejak tahun lalu dan kini berada pada kedudukan ke-34 daripada 67 negara.
Kata Tengku Zafrul, MITI sudah menerima laporan itu dan sedang dalam proses membuat semakan bagi memahami pelbagai isu berkaitan perdagangan global.