Syerleena nafi tuduhan mahu tukar agama rasmi Malaysia
PULAU PINANG – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menafikan tuduhan beliau berjuang untuk menukar agama rasmi Malaysia dan berniat menyerang institusi Islam, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial yang didakwa telah menyebarkan fitnah melampau berkenaan.
Syerleena berkata, tuduhan tidak berasas itu disebar dengan niat untuk mencemar reputasi beliau serta menanam persepsi negatif dalam kalangan orang Melayu terhadap dirinya yang mewakili parti DAP.
Selain itu, beliau juga menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin yang didakwa sebagai bapa beliau.
Syerleena menegaskan bahawa arwah bapanya, Abdul Rashid Hanafi merupakan seorang guru sekolah yang telah meninggal dunia pada awal Jun lalu.
“Serangan sebegini adalah amat tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan. Ia tidak hanya mencemarkan nama baik saya dan keluarga tetapi berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syerleena berkata, sebagai seorang ahli parlimen beragama Islam, beliau bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan institusi-institusinya di negara ini.
Syerleena turut menyeru rakyat khususnya yang beragama Islam agar tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan palsu terhadap DAP.
“Parti ini menjalankan aktiviti politik berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara.
“Media sosial adalah platform yang berkuasa dan harus digunakan dengan bijak dan beretika.
“Setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan tidak mengelirukan.” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune