Euro 2024: Ronaldo, Pepe cipta sejarah baharu edisi euro kali ini
LEIPZIG – Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo mencatatkan sejarah sebagai pemain pertama yang membuat penampilan dalam enam edisi Kejohanan Eropah (Euro) sejak 2004 hingga 2024.
Pencapaian tersebut menambahkan lagi koleksi rekod gemilangnya sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional.
Bekas bintang Real Madrid itu telah beraksi dalam 26 perlawanan Euro dan akan terus menjadi tonggak utama pasukan Portugal pada perlawanan kehadapannya dalam kejohanan berprestij tersebut.
Ketajamannya di padang serta keupayaannya menjaringkan gol masih menjadi aset berharga buat skuad kebangsaan itu.
Dalam perkembangan yang sama, bekas pertahanan Real Madrid, Pepe turut mencipta sejarah sebagai pemain tertua yang beraksi dalam kejohanan ini pada usia 41 tahun 113 hari.
Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez masih menagih khidmat dan pengalaman Pepe untuk memperkukuh pertahanan pasukan untuk menghadapi serangan pihak lawan.
Penampilan kedua-dua pemain veteran ini tidak hanya menunjukkan dedikasi dan ketahanan fizikal mereka, tetapi juga memberikan inspirasi kepada pemain muda yang bercita-cita tinggi dalam arena bola sepak.
Portugal kini menaruh harapan tinggi untuk meraih kejayaan sekali lagi pada edisi Euro 2024 selepas menjuarainya pada edisi Euro 2016 lalu dengan bimbingan dan pengalaman yang dimiliki oleh Ronaldo dan Pepe.