Amanah Pahang desak Sanusi buat laporan SPRM
KUANTAN – Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang menggesa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku rasuah di Kedah.
Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, beliau mencabar agar Menteri Besar Kedah itu membuat laporan kepada SPRM kerana kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi itu sesuatu yang serius.
“Kami sekali lagi mencabar Sanusi supaya melaporkan salah laku rasuah di Kedah. Sekiranya gagal, SPRM boleh mengheret mereka yang menyembunyikan kegiatan salah ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat susulan laporan pada Khamis lalu yang mana Muhammad Sanusi menyatakan kesediaannya untuk menyahut cabaran Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, untuk membuat laporan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan ahli PKR dan DAP sehingga menjejaskan rancangan pembangunan negeri.
Namun, Sanusi menegaskan laporan kepada SPRM hanya akan dibuat apabila tiba masanya.
Tegas Fadzli, beliau menekankan perbuatan menyembunyikan kesalahan rasuah adalah satu kesalahan serius.
“Sangat tidak bertanggungjawab sebagai seorang pemimpin untuk tidak melaporkan jenayah rasuah sekiranya beliau mempunyai maklumat berkaitan.
“Laporan perlu dibuat oleh mereka yang tidak melaporkan aktiviti rasuah melibatkan pihak yang mengambil atau menerima boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM,” katanya.
Beliau turut menambah tindakan menyembunyikan pesalah rasuah bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan soal integriti dan pencegahan kemungkaran.
Amanah Pahang berharap agar isu ini diberi perhatian serius demi memastikan keadilan dan integriti terus terpelihara di negara ini.