Insiden langkah kubur dirujuk kepada JAKIM, pejabat mufti
KOTA BHARU – Tindakan dua wanita yang melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan yang menjadi tular di media sosial sejak semalam akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan jabatan mufti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara berkenaan melibatkan hukum agama dan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Saya menasihatkan kepada orang ramai supaya apa-apa pandangan (yang diberikan) perlu mengambil kira pandangan maslahah dan masyarakat secara umum.
“Jadi kita sama-sama menjaga sensitiviti dan keharmonian untuk memastikan apa yang kita lakukan itu adalah berdasarkan nas yang sohih dan amalan yang dibenarkan oleh Islam.
“Sekiranya ada kekaburan perlu melakukan penyelidikan dan bertanya kepada mereka yang berautoriti,” katanya ketika ditemui pada Program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Dewan Misai Kucing di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini hari ini.
Kejadian langkah kubur tersebut mula menjadi tular sejak tersebarnya video berdurasi 37 saat yang dimuat naik di TikTok, semalam, dan kemudiannya dikongsikan di Facebook oleh pengguna lain.
Berdasarkan video berkenaan, seorang wanita merakam video itu memberitahu rakannya mengenai dakwaan jika melangkah kubur, pemiliknya (individu yang sudah meninggal dunia itu) akan datang mencari individu itu pada waktu malam.
Bagaimanapun, seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Keknan’ memuat naik satu lagi video bagi menjelaskan keadaan bahawa kubur yang dilangkah merupakan ‘kubur buatan’ dan rakaman itu merupakan petikan adegan kepada sebuah filem pendek yang bakal diterbitkan.