PM X

Kerajaan setuju laksana penyasaran subsidi diesel – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api.

Perdana Menteri berkata, penyasaran subsidi akan mula dilaksanakan ke atas bahan api diesel.

“Sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem
Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam pada itu katanya, pemberian SKDS turut melibatkan pengusaha bas dan teksi.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu.

“Kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup. Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20. Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun,” ujarnya.

Sementara itu Anwar berkata, sebahagian penjimatan itu dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat antaranya dengan menambahbaik pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan
meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta iaitu lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta tahun lalu.

“Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 ketimbang RM600. Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kita naikkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion (2024) yang memanfaatkan sekitar 9 juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button