HSR akan dibincangkan dengan Singapura hanya selepas Kabinet lulus – Loke
PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan rundingan secara formal bersama Singapura berhubung projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan beliau kepada rakan sejawatnya dari Singapura, Chee Hong Tat semasa lawatan Chee Hong ke Malaysia minggu lalu.
“Ada perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura dalam pelbagai perkara, antaranya saya ada maklumkan mengenai HSR tetapi masih tiada yang rasmi lagi.
“Saya jelaskan bahawa cadangan rasmi mengenai HSR hanya akan dibentangkan atau dibincangkan dengan Singapura selepas kita mendapat kelulusan daripada Kabinet,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.
Pada 1 Januari 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri mengumumkan projek HSR terpaksa ditamatkan selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia.
Mengulas lanjut, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan kini dalam proses menunggu waktu yang sesuai untuk membentangkan penilaian terhadap projek HSR tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan dengan Singapura secara rasmi hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Kabinet. Setakat ini, Kabinet masih belum memberi sebarang persetujuan,” ujarnya lagi.