Jenazah kru kapal warga Malaysia jatuh laut di Bangladesh, tiba esok
KUALA LUMPUR – Jenazah warga Malaysia, Muhammad Isa Muhammad Veeramohan yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang pilot ladder di perairan Chittagong, Bangladesh Rabu lalu, dijangka tiba di Malaysia esok.
Menurut abang Allahyarham, Nur Muhammad, jenazah dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8 pagi esok sebelum dibawa ke Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, Selangor, untuk disolat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda.
“Segala urusan bawa pulang jenazah adik diuruskan oleh pihak insurans syarikat adik bekerja.
“Insya Allah esok jenazah dijangka tiba. Mohon doakan segala urusan dipermudahkan sehinggalah jenazah dikebumikan,” katanya kepada portal Harian Metro, hari ini.
Menurut Nur, arwah sudah lama bekerja dengan syarikat berkenaan dan ini merupakan kali kedua menyertai tugasan di atas kapal.
Tambahnya, seluruh keluarga memang terkesan dengan kehilangan anak ketiga daripada enam beradik itu yang disifatkan sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.
“Dia (Allahyarham) seorang yang berani dan banyak membantu ayah, emak serta adik-beradik. Dia tidak suka susahkan keluarga, sakit pun tidak pernah beritahu keluarga. Itulah sikap dia,” katanya\ lagi
Nur turut berkata, keluarganya amat terharu di atas doa orang ramai dan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.
Media sebelum ini melaporkan, jasad kru kapal yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang ‘pilot ladder’ di perairan Chittagong, Bangladesh ditemukan pasukan penyelamat Ahad lepas.