Berita Semasa

Pelan Tindakan Bersepadu PMKS beri manfaat kepada hampir 500 ribu penerima – TPM Zahid

PUTRAJAYA – Sebanyak 270 program telah dirancang untuk dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM15.11 bilion menerusi pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA) 2023/2024.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 479,350 penerima.

“Kesemua program tersebut telah dirancang melalui pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bil 2 Tahun 2024 hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Melalui laporan yang sama, Ahmad Zahid berkata, secara purata, sebanyak 191 program telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 billion bagi program keusahawanan serta pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Malah, jelas beliau, pada tahun 2023 sahaja, sebanyak RM15.48 bilion telah dibelanjakan bagi 258 program keusahawanan dan pembangunan PMKS.

“Saya melihat pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan sebagai rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh, khususnya Kementerian dan agensi yang berada di dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara.

“Bagi menambahbaik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, SME Corp. Malaysia turut melaksanakan Sistem Pendaftaran Status PMKS bagi memastikan program yang dilakukan adalah lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS, seterusnya mengelakkan ketirisan,” katanya.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga telah bersetuju untuk Sistem Pendaftaran Status PMKS disepadukan bersama-sama sistem-sistem utama lain seperti seperti PADU, Pangkalan Data SSM dan GovTech MALAYSIA.

Kata Ahmad Zahid, ia adalah bagi meningkatkan sinergi antara Kementerian dan agensi seterusnya menambah baik sistem penyampaian kerajaan, terutamanya dalam pembangunan keusahawanan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program-program pembangunan usahawan dalam negara, mesyuarat juga telah mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada bagi memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS.

“Penambahan keanggotaan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan SEK- MPUPK, ia akan membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program pembangunan usahawan dan PMKS khususnya bagi menembusi pasaran global dan kawasan luar bandar.

“Kementerian dan agensi Kerajaan disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu kerana tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan Kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber kerajaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button