Berita Semasa

UKKM jadi universiti khas keusahawanan dan koperasi pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang dikendalikan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) muncul sebagai universiti khas keusahawanan dan koperasi pertama di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor, universiti berkenaan menawarkan program di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana (Masters) dalam bidang keusahawanan koperasi.

Katanya, kursus yang ditawarkan telah dirangka dengan teliti bagi melahirkan golongan profesional dalam kebitaraaan keusahawanan koperasi.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor menyampaikan ucapan dalam Majlis Prapelancaran UKKM di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, UKKM menyasarkan 300-500 pengambilan pelajar bagi setiap tahun dan berhasrat mahu mengembangkan jumlah kampus berkenaan di masa hadapan.

“UKKM yang telah mula beroperasi sebagai IPTS sejak 29 Mac 2023 mengkhususkan kepada bidang pengajian keusahawanan koperasi dijangka mampu memberi impak kepada sektor koperasi.

“Lima kursus yang ditawarkan UKKM iaitu Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pengurusan Koperasi, Sarjana Muda Pentadbiran Keusahawanan Koperasi dan Pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan Koperasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Majlis Prapelancaran UKKM di sini, hari ini.

Yang hadir sama dalam menyempurnakan majlis tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan ucapan dalam Majlis Prapelancaran UKKM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ewon Benedick dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membantu dalam merealisasikan penubuhan universiti tersebut.

“Dengan kewujudan sebuah lagi institusi pengajian tinggi oleh pihak KPT di Malaysia ini memberikan kita gambaran betapa pentingnya konsep pembelajaran sepanjang hayat terutamanya dalam aspek pembangunan koperasi di Negara ini. Ini juga membuktikan bahawa penekanan sentiasa diberikan ke arah ini,” katanya 

Ditanya mengenai fungsi IKMa selepas tertubuhnya UKKM, Ewon Benedick berkata, IKMa akan tetap menjalankan peranan mereka dalam melaksanakan dasar sedia ada.

“Penubuhan UKKM ini akan melengkapkan lagi peranan IKMa yang sedia ada. Kita mempunyai pelan transformasi koperasi, ada juga Dasar Keusahawanan Negara sudah tentu IKMa akan memastikan dasar ini akan dijayakan.

“Peranan UKMM pula adalah bagi memastikan sebahagian matlamat untuk jangka panjang khususnya dalam menyediakan pengajian yang berkaitan keusahawanan dan koperasi bagi rakyat Malaysia,” jelasnya.

Untuk rekod, kampus utama UKKM kini ditempatkan di bangunan IKMa, Kuala Lumpur.

 

Show More

Related Articles

Back to top button