Berita Semasa

Keputusan SPM 2023 diumum 27 Mei ini – KPM

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada 27 Mei ini.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata,
semua calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.

Jelas KPM, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.

Di samping itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut:

1. Secara dalam talian di pautan http://myresultspm.moe.gov.my/ untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 02 Jun 2024; atau

2. Secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPMNoKad PengenalanAngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei sehingga pukul 6:00 petang pada 2 Jun.

Dalam pada itu, KPM turut mengucapkan ucapan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023.

“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Untuk rekod, seramai 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button