Berita Semasa

Kementerian Komunikasi kaji keperluan kad media kepada media bipartisan

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi bercadang mengkaji semula keperluan media bipartisan untuk memperoleh kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, perkara itu diteliti dalam Sesi Libat Urus Penggubalan Etika Kewartawanan Malaysia (EKM 2024) & Prosedur Tetap Operasi (PTO) Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia bersama pemegang taruh.

“Dalam sesi libat urus ini, beberapa cadangan penambahbaikan terhadap EKM 2024 telah diteliti bersama dengan pelbagai wakil agensi Kementerian Komunikasi serta ahli-ahli akademik daripada Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Saya juga menegaskan penelitian semula keperluan media bipartisan yang memperoleh kad media memandangkan ia menjurus kepada elemen berpihak sedangkan prinsip media adalah adil dan tidak berpihak, selain beberapa cadangan penambahbaikan lain bagi pemilikan kad tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teo Nie Ching

Menurut Nie Ching, penggubalan terhadap etika itu perlu dibuat memandangkan kali terakhir di semak kira-kira 34 tahun lalu.

“EKM 1989 sememangnya perlu diteliti semula memandangkan pembentukannya sudah hampir 34 tahun, sesuai dengan perubahan zaman teknologi dan digital kini.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Madani untuk menghapuskan penularan berita palsu dan salah lapor bagi menjamin kualiti penyampaian berita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) akan dibentangkan pada sidang pertama Parlimen 2024.

Nie Ching berkata, langkah itu sekali gus dapat memastikan kualiti pelaporan media yang lebih bertanggungjawab.

Show More

Related Articles

Back to top button