Strukturkan semula TVET, tambah baik program untuk tarik minat belia – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian perlu distrukturkan semula bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika ini, terdapat pelbagai kementerian yang melaksanakan program TVET dan setiap kementerian mempunyai program yang berlainan.
Katanya, perkara tersebut telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.
“Sekarang ini TVET dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan setiap kementerian mempunyai program masing-masing.
“Selepas mereka tamat kursus yang pelbagai jenis, hal ini telah menyebabkan pemain industri keliru, berapa banyak program TVET? Siapa yang lebih ‘senior’ dan ‘junior’? Gaji macam mana? Semua itu agak mengelirukan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, Hannah telah merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sidang kedua, penggal ke-33 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, di sini hari sini.
Tambah Hannah lagi, perkara tersebut juga boleh menyebabkan berlakukanya pembazrian dari segi penaiktarafan TVET yang dilakukan oleh pelbagai kementerian.
“Kabinet sebelum ini telah meminta menstrukturkan semula dan saya percaya Kabinet baharu akan melihat perkara ini semula dan KBS bersedia berkerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk kita strukturkan semula TVET.
“Tidak perlu setiap kementerian buat program masing-masing sebab bila kita semua buat, dia nampak tidak terurus, tidak fokus dan berlaku pembaziran.
“Macam mana pembaziran ini boleh dielakkan? Bila TVET diusahakan oleh satu kementerian sahaja, usaha kita untuk naik taraf kemudahan dan infrastruktur itu tidak perlu dilakukan oleh semua kementerian.
“Contoh kalau setiap kementerian belanja RM50 juta untuk naik taraf tetapi pengambilan itu tidak maksimum jadi dari segi itu tenaga pengajar, akan ada pembaziran,” jelasnya lagi.