Empat daerah di Kelantan dijangka hadapi gelombang haba hingga Jumaat
KUALA LUMPUR – Empat daerah di Kelantan – Pasir Mas, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai dijangka menghadapi gelombang haba mencecah 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut sehingga Jumaat ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca panas di Kelantan itu turut dijangka melibatkan Jeli, Kota Bharu dan Pasir Putih yang berada pada tahap berjaga-jaga.
“Selain itu, amaran suhu panas mencecah 37 darjah Celsius juga dijangka di Pantai Timur Semenanjung iaitu di Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu) dan Pahang (Temerloh, Raub dan Rompin).
“Cuaca panas yang sama turut melibatkan bahagian pantai Barat di Perak (Hulu Perak dan daerah Utara Kedah (Baling),” kata agensi tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, keadaan cuaca cerah dan baik dijangkakan di hampir kesemua negeri Semenanjung sehingga tengah hari nanti.
Sementara itu, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Utara Johor dan Pedalaman negeri Pahang dan Terengganu pada petang ini.
“Cuaca buruk sama juga (dijangka) berlaku di bahagian Selatan dan Tengah negeri Sarawak dan Sabah di pantai Barat Pedalaman Sandakan dan Tawau pada sebelah petang ini,” kata kenyataan itu lagi.