Akaun Instagram ‘Muhammad Imran Suresh’ akaun palsu – PDRM
Cuba ganggu dan cetus persepsi negatif berhubung siasatan kes Faisal Halim disimbah asid
KUALA LUMPUR – Semakan polis ke atas akaun Instagram yang menggunakan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ mendapati akaun tersebut adalah palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, individu yang menggunakan akaun tersebut dilihat cuba mengganggu dan mencetuskan persepsi negatif berhubung kejadian simbah asid ke atas tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim pada 2 Mei lalu.
“Selepas kita siasat, kita dapati akaun Instagram Muhammad Imran Suresh berkenaan adalah palsu. Kita juga sedang memantau semua akaun di media sosial dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kita tidak boleh memberi ruang kecil untuk mereka ini ambil kesempatan untuk merosakkan keadaan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Setakat ini, katanya, tiada laporan diterima pihaknya terhadap mana-mana akuan media sosial yang mencetuskan spekulasi dan membuat hantaran berbaur kebencian terhadap mana-mana pemain bola sepak.
“Kita ada kenal pasti beberapa akaun media sosial, dan kita dapati akaun-akaun ini sekejap ada sekejap tiada. Jika kita dapat ia terus buat spekulasi tidak bertanggung jawab, kita akan panggil. Jika ada laporan, kita akan siasat,” katanya lagi.