Projek superkomputer YTL berjalan lancar
KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Kampus Data Hijau YTL di Kulai, Johor yang bakal mengoperasikan sebuah superkomputer kini sedang giat dijalankan dan dijangka akan disiapkan mengikut jadual.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL, Wing K Lee berkata, apabila siap kelak, projek di kawasan berkeluasan 664 hektar tersebut akan menjadikan Malaysia sebagai pusat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang tercanggih di rantau ini.
“Ini kerana, pusat ini akan menempatkan sebuah superkomputer DGX Cloud yang dikuasakan oleh Nvidia Grace Blackwell.
“Teknologi ini membolehkan rakyat Malaysia mengaplikasikan AI dalam kehidupan harian dengan lebih efisien dan mudah,” kata K. Lee.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas muncul sebagai panelis dalam satu program bicara dalam Persidangan Kawalselia Antarabangsa 2024, di sini hari ini.
Oleh kerana penggunaan teknologi terbaharu, proses penyiapan pusat tersebut adalah amat kompleks.
Untuk rekod, YTL menjadi antara syarikat pertama di dunia yang menggunakan cipset terbaharu keluaran Nvidia, GB200 NVL72, dan rangkaian superkomputer tersebut dihubungkan menerusi jalinan Nvidia Quantum InfiniBand.
Dari segi teknikal, platform tersebut akan berfungsi sebagai sebuah GPU dengan kemampuan AI selaju 1.4 exaflop dan memori berkelajuan tinggi sebanyak 30 terabit.
Jaringan itu akan membuatkan YTL AI superkomputer mampu beroperasi pada kelajuan 300 exaflop, menjadikannya sebagai salah sebuah superkomputer terpantas di dunia.
Selain itu, pusat tersebut dikuasakan sepenuhnya menggunakan tenaga solar.
“Kami yakin teknologi ini akan meletakkan Malaysia sebagai salah satu peneraju dalam teknologi AI,” kata K Lee lagi.