Berita Semasa

Ahli Parlimen Langkawi persoal penganugerahan projek RM6 bilion kepada YTL

KUALA LUMPUR – Isu penganugerahan projek kepada YTL Corporation Bhd (YTL) kembali dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mempertikaikan tindakan kerajaan memberikan kontrak tambahan kepada syarikat tersebut.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Mohd Suhaimi menyuarakan rasa kecewanya kerana walaupun projek 1BestariNet yang diberikan kepada YTL Communications Sdn Bhd berdepan dengan pelbagai masalah syarikat itu masih menerima beberapa projek bernilai tinggi.

Antara projek yang disebut ialah projek ‘waste-to-energy’ bernilai RM4.5 bilion yang diberikan pada 2019 diikuti dengan projek ‘multi lane free flow’ pada 2021, lesen perbankan digital pada April 2022 dan lanjutan konsesi Express Rail Link menjadikan jumlah keseluruhan lebih kurang RM6 bilion.

“Saya berasa cukup kecewa kerana seolah-olah tiada tindakan diambil terhadap syarikat itu selepas dua tahun (penamatan kontrak 1BestariNet), mereka masih dianugerahkan beberapa projek lain,” katanya di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyarankan supaya perkara tersebut dirujuk kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan kementerian berkaitan lain untuk maklumat lanjut.

“Saya cadangkan Langkawi untuk menyemak dengan MOF atau kementerian lain yang terbabit bagi mendapatkan maklumat terperinci,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang merangka penyelesaian kepada dua isu yang masih berbangkit dalam projek 1BestariNet iaitu kadar sewaan tapak menara dan caj elektrik yang belum diselesaikan sejak kontrak berakhir pada 2019.

“Walaupun kontrak sudah tamat, menara tersebut masih beroperasi untuk tujuan komersial.

“Isu itu kini dalam penyelesaian oleh kerajaan dengan komitmen memastikan perkara legasi ini ditangani,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, Kerajaan Madani berusaha menyelesaikan isu lama itu manakala siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara tersebut diserahkan kepada suruhanjaya berkenaan.

Projek 1BestariNet yang dilancarkan pada 2011 bertujuan menyediakan capaian Internet kepada 10,000 sekolah dan mewujudkan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

Kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion itu diberikan kepada YTL untuk membangunkan infrastruktur tersebut.

Menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Wong berkata, KPM kini menggunakan platform Dilema yang dibangunkan secara dalaman bagi meneruskan agenda pendidikan digital selepas penamatan kontrak 1BestariNet pada 2019.

“Platform tersebut menyediakan akses kepada 789 buku teks digital, 12,762 video pembelajaran, dan 170 video podcast pendidikan, yang boleh diakses secara percuma oleh guru dan pelajar.

“Ini merupakan komitmen KPM dalam memastikan pendidikan digital terus maju dan memberi manfaat kepada pelajar serta guru di seluruh negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button