Penggunaan teknologi terkini mudahkan perpustakaan beri perkhidmatan lebih berkualiti
KUALA LUMPUR – Sektor perpustaakan perlu memanfaatkan teknologi terbaharu seperti kepintaran buatan (AI), metaverse dan robotik dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, langkah ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan perkhidmatan awam dapat diakses dengan lebih mudah dan efisien.
“Perpustakaan memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi dan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“(Sebagai contoh) Penggunaan AI dan analisis data dalam perpustakaan akan dapat menyediakan pengalaman yang lebih interaktif kepada pengguna, dan juga dapat mempercepatkan pengguna mencari maklumat,” katanya ketika Majlis Perasmian Program ‘Technology Talk Convergence’ di Perpustakaan Negara, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Norihan Mohamed Naim.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Salasiah Abdul Wahab.
Program yang bermula pada tahun 2018 ini pada asalnya dinamakan sebagai ‘Technology Talk and Update’ dan dilaksanakan di peringkat jabatan sahaja, namun pada tahun ini ia dilaksanakan dalam skala yang lebih besar dan dijenamakan semula sebagai program ‘Technology Talk Convergence’.
Selain memberikan pendedahan teknologi baharu yang boleh memanfaatkan sektor perpustakaan, program ini juga diadakan sebagai platform kepada pustakawan dan pengurus maklumat untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti selari dengan perkembangan teknologi terkini yang relevan untuk diadaptasikan di perpustakaan.
Program ini juga dapat menyediakan ruang kepada pustakawan, pengurus maklumat serta seluruh rakyat Malaysia untuk menambah jaringan perhubungan bagi menggalakkan jalinan kerjasama strategik serta perkongsian pintar merentasi sempadan.