Kesuma lancar Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) secara rasminya melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan hari ini bagi dalam usaha memacu misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, dasar tersebut adalah bagi mengangkat martabat pekerja di Malaysia yang mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, Lima Pemacu Perubahan dan Dua Pemangkin Dasar.
Jelasnya, kerangka dasar ini dihasilkan selepas mengambil kira maklumbalas pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, Town Hall dan portal kaji selidik dalam talian.
“Lebih 2,000 maklum balas diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini.
“Kerangka dasar ini merangkumi isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas, golongan kurang upaya (OKU).
“Ia juga merangkumi isu hal ehwal pekerja sektor gig, isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam majlis yang sama, Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini disempurnakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mengulas lanjut, Sim berkata, kerangka dasar ini akan menjadi panduan bagi menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.
“Kesuma berharap akan menjadi antara kementerian pertama yang mempunyai dokumen dasar utama yang selaras dengan RMK-13 kelak.
“Dalam usaha Reformasi 100 Hari, Kesuma juga sudah melaksanakan 80 pembaharuan yang boleh dirangkumkan dalam empat tema utama iaitu; gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial lebih menyeluruh dan tatakelola lebih baik.
“Pada tahun ini Kesuma juga akan menyemak semula kadar gaji minimum. Kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60 peratus dari 2010-2019,” ujarnya lagi.