Berita Semasa

Ahli Parlimen Balik Pulau dilantik sebagai Pengerusi MyCreative yang baharu

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai Pengerusi baharu Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Noor Azmi Mat Said, yang telah menamatkan penggalnya selepas berkhidmat di MyCreative sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Junady Nawawi berkata, pihaknya yakin dengan pelantikan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global.

“Kami teruja untuk bekerja bersama Datuk Bakhtiar yang berpengalaman luas menerajui pembangunan dan perancangan strategik serta mempunyai minat yang tinggi terhadap seni, budaya dan warisan. Ini semua dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global.

“Adalah menjadi matlamat kolektif kami untuk memastikan MyCreative memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kreatif, termasuk artis, usahawan, pelabur, dan masyarakat. Kami yakin kepimpinan luar biasa Datuk Bakhtiar dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akan membantu kami mencapai matlamat dan memacu pertumbuhan serta kejayaan industri kreatif di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar, berasa teruja untuk bersama pasukan MyCreative dalam usaha memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan.

“Saya amat berbesar hati kerana telah diamanahkan untuk memegang peranan ini ketika industri kreatif melalui detik yang cukup penting. Dengan kemunculan idea-idea inovatif daripada artis tempatan pada era pasca-pandemik, ini adalah masa paling tepat untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang dinamik ini.

“Saya sangat teruja untuk bekerja bersama-sama dengan pasukan berbakat di MyCreative dan entiti-entitinya untuk menyokong serta meningkatkan idea-idea berwawasan ini dengan strategik. Secara jangka panjang, sektor ekonomi jingga ini mempunyai potensi yang cukup positif dan ia akan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada KDNK negara, dengan unjuran sehingga RM31.9 bilion menjelang tahun 2025,” kata Muhammad Bakhtiar.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar juga bertekad untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan.

Show More

Related Articles

Back to top button