PM X

Bulan Kebangsaan: PM arah semua kibarkan Jalur Gemilang

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tempoh sambutan Bulan Kebangsaan.

Berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya, hari ini, Anwar berkata, semua pihak termasuk sektor awam dan swasta perlu mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, langkah berkenaan adalah sebagai tanda taat setia, pengorbanan serta bagi menunjukkan semangat kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 67 tahun lalu.

“Mulai hari ini, komuniti Madani, setiap jabatan, setiap rakyat, setiap kedai dan warung, kaya miskin, kota dan desa, kita hendak memastikan tunjukkan bahawa kamu bersama ‘Jiwa Merdeka’, hebatkan Malaysia.

“Saya percaya kita bagi mesej yang jelas… apa yang sukarnya… orang dulu korban segalanya, ibu di kampung keluarkan rantai dan perhiasan mereka jadi tabung untuk perjuangan (memerdekakan negara),” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ akan menjadi petanda baharu bagi rakyat di negara ini untuk bersama mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara gemilang.

“Orang dahulu bagi cincin untuk perjuangan, sekarang kita tidak sanggup… kena ingat supaya jangan ada keterlanjuran… kita tidak minta cincin, tidak minta jam, yang saya minta ialah kibarkan Jalur Gemilang.

“Kalau ada orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti, bukan isu kedudukan atau pekerjaan. Ini soal jati diri, maruah, harga diri… ini satu negara bila merdeka, kibaran bendera itu meluas di seluruh negara,” katanya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 diadakan bertujuan menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos ini dijadualkan akan berlangsung di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula di Kota Kinabalu, Sabah

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button