Berita Semasa

MARA sedia dana RM5 juta bantu buka LOCCA Cafe

MELAKA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mewujudkan jaringan usahawan dalam bidang restoran menerusi Program Pembangunan Rangkaian Restoran Bumiputera di bawah jenama LOCCA Cafe.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk membantu usahawan Food & Beverages (F&B) memiliki restoran berkonsep yang menawarkan pelbagai hidangan premium pada harga berpatutan dengan persekitaran yang menarik dan kondusif.

“LOCCA Cafe merupakan rangkaian restoran yang menyajikan pelbagai hidangan yang menggabungkan konsep masakan tempatan dan barat, minuman serta pencuci mulut setanding citarasa antarabangsa. Sepanjang program ini dibangunkan, sebanyak enam outlet telah diwujudkan dengan menawarkan 50 peluang pekerjaan.”

“MARA sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan jenama tempatan dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian bekalan (supply chain) daripada pembekal sehingga pelanggan sekaligus memperkasa jenama perniagaan melalui peningkatan imej dan susun atur restoran yang menepati piawaian industri,” katanya pada Majlis Perasmian LOCCA Cafe, Dataran Pahlawan, di sini.

Dalam pada itu, MARA turut memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membangunkan usahawan di negeri Melaka yang merangkumi program latihan, senggaraan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan.

MARA juga berhasrat untuk memperkukuhkan jenama itu supaya ia setanding dengan rangkaian restoran terkenal dan melonjakkan kapasiti perniagaan berteraskan kerjasama dengan pemain industri selain melahirkan usahawan Bumiputera kompeten dalam bidang penyediaan makanan dengan jumlah pekerja yang minima.

“Bagi menyokong program LOCCA, MARA turut melibatkan pakar runding yang telah dilantik bagi membantu membangunkan imej korporat, mengekalkan keseragaman rasa, pembekalan stok barangan dan pengoperasian yang sistematik.”

“Program usahawan F&B ini bermula dengan pemilihan usahawan berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan. Mereka telah diberikan pembiayaan perniagaan, latihan yang komprehensif dan berstrukur, pemantauan serta khidmat nasihat sepanjang pembangunan program ini berlangsung,” ujarnya.

Selain dari LOCCA Dataran Pahlawan terdapat 5 buah outlet lain iaitu LOCCA Tamarind Square, Cyberjaya, LOCCA Queensville, Cheras; LOCCA Datum Mall, Keramat, LOCCA Eco Ardence, Shah Alam dan LOCCA Temu Elmina. Manakala dua outlet lagi akan menyusul iaitu di Sentul Point dan Metrocity Kuching, Sarawak.

Show More

Related Articles

Back to top button