Polis buka kertas siasatan kes askar pukul isteri
MELAKA – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang anggota tentera ‘naik tangan’ ke atas isterinya di sebuah flat di Sungai Udang.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, video berdurasi 32 saat itu tular sejak semalam menerusi satu hantaran di aplikasi X.
Kata beliau, kejadian tersebut berlaku pada 15 Disember 2023 di sebuah perumahan flat berdekatan Sungai Udang, Melaka.
“Seorang perempuan Melayu telah dipukul suaminya yang juga merupakan anggota tentera di sebuah kem di Sungai Udang, Melaka.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, berdasarkan video yang tular itu, kedengaran suara seorang wanita meminta agar suaminya bertenang.
“Abang janganlah abang… tak nak… sakit, tak nak…,” katanya.
Turut kelihatan, jiran-jiran yang cuba menenangkan keadaan, namun tidak dipedulikan lelaki tersebut.
Lebih buruk lagi, lelaki tersebut turut didakwa mengugut untuk membunuh isterinya dan kelihatan memegang sesuatu dan mengacukan kepada mangsa.