Jenayah & Mahkamah

Pelajar tingkatan 5 lemas mandi di lombong

MACHANG – Seorang pelajar tingkatan 5 ditemukan lemas selepas mandi bersama lima rakannya di kawasan lombong pasir di Kampung Bagan, Pulai Chondong, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa Muhammad Fahmi Adlan Mohd Fauzul Azli, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad Pangkal Gong, Pulai Chondong disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulai Chondong.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika sedang mandi, mangsa bersama seorang lagi rakannya berenang untuk mengambil baju yang hanyut di kawasan yang dalam airnya.

“Bagaimanapun, mangsa dan rakannya tiba-tiba tenggelam, namun hanya seorang sahaja yang berjaya diselamatkan.

“Mangsa pula tidak dapat dikesan kerana tidak timbul dari permukaan.

“Rakan mangsa yang lain kemudiannya bergegas memaklumkan kejadian itu kepada orang awam untuk meminta bantuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha pencarian oleh penduduk kampung yang turut memberi bantuan di sekitar kawasan pencarian berjaya menemukan mangsa 10 minit selepas kejadian itu berlaku.

“Bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan mati lemas,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button