Berita Semasa

Kelantan, Sabah setuju kerjasama tangani isu air – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti permohonan dana sebanyak RM8 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan lebih dahulu sebelum bersetuju untuk pelaksanaan beberapa projek bekalan air bersih di negeri itu.

Itu antara perkara yang perlu dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan persetujuan dan kerjasama kerajaan negeri Kelantan dan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri tersebut.

Persetujuan itu kata beliau dicapai menerusi mesyuarat khas bersama Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah yang diadakan hari ini.

Anwar berkata, beliau belum memutuskan persetujuan mengenai jumlah peruntukan itu kerana perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam pasukan tugas khas.

Kata beliau, pasukan tersebut akan meneliti terlebih dahulu dengan tepat apa keperluan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti aspek pengurusan dan ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Apa yang penting, (keputusan) daripada apa-apa pertimbangan lain adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di sini hari ini.

Anwar berkata, masalah bekalan air di Kelantan lebih serius berbanding di Sabah dan memerlukan pelaksanaan projek yang menelan belanja yang tinggi. 

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Negeri Kelantan memastikan aspek pengurusan yang telus dan efisyen selain bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri tidak boleh lagi bekerja secara silo kerana memerlukan dana yang tinggi, jadi mereka perlu memastikan penyaluran bekalan air bersih benar-benar sampai kepada rakyat.

“Dana sebanyak RM8 bilion yang dimohon Kerajaan Negeri Kelantan saya belum bersetuju dan perlu melihat kepada beberapa peringkat keperluan utama.

“(Kelantan) tidak ada bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu, namun kita lihat tiada keperluan sebanyak itu,” katanya. 

Pada masa sama, Perdana Menteri memberikan tempoh masa seminggu kepada pasukan petugas khas itu untuk mengemukakan strategi segera bagi menyelesaikan isu itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button