Graduan doktorat dapat lonjakkan bidang koperasi ke peringkat lebih tinggi
PETALING JAYA – Bidang koperasi memerlukan lebih ramai profesional khususnya graduan doktorat bagi melonjakkan bidang tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, koperasi bukan satu bidang yang kecil, dengan negara mempunyai lebih 15,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi 7 juta ahli.
“Jadi, koperasi ini penting buat yang rakyat terutamanya yang bekerja dan menjalankan perniagaan sendiri.
“Justeru graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) yang bakal dilahirkan mampu menyumbang kepada kemajuan koperasi di Malaysia,” kata Ramanan, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ramanan turut menyampaikan surat tawaran kepada sembilan pelajar yang bakal menyambung pelajaran dalam peringkat PhD di Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM).
Kesemua penerima merupakan pelajar kumpulan pertama program PhD dalam bidang keusahawanan yang ditawarkan oleh universiti tersebut yang mula beroperasi sejak September 2022.
Sementara itu, Naib Canselor UKKM, Profesor Datuk Dr. Azali Mohamed berkata, program Phd yang ditawarkan menggabungkan pembelajaran dari segi akademik dan amali bagi memastikan lebih ramai graduan berkualiti dapat dilahirkan.
“Saya yakin dan percaya sektor koperasi di Malaysia memerlukan lebih ramai penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang koperasi.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan lebih ramai orang Malaysia mendaftar dalam program ini bagi memajukan sektor koperasi di Malaysia,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 17 orang pelajar turut menerima surat tawaran bagi melanjutkan pelajaran dalam peringkat Ijazah Sarjana di universiti tersebut.
IKMa turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Rumah Anak Yatim Sentuhan Budi, Seksyen 14.