
Jualan Madani Koperasi dan Usahawan catat RM5.9 juta
ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia komited untuk terus melaksanakan program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU).
SKM berkata, setakat hari ini, sebanyak 65 program JMKU telah dilaksanakan dengan jumlah insentif yang telah diluluskan adalah sebanyak RM1.69 juta dengan jumlah jualan yang direkodkan sebanyak RM5.9 juta.
“JMKU diadakan bagi menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, gula, susu dengan tawaran penjimatan harga sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran.
“Pelaksanaan program JKMU ini telah memberi manfaat kepada 202,846 orang pengguna melalui barangan keperluan asas yang dijual oleh 206 operator jualan yang dilantik oleh SKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (Bersara), Datuk Ahmad Norihan Jalal secara rasminya menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin, dan Ahli Lembaga Pengarah SKM, Kumaresan Arumugam.
Acara berkenaan merupakan acara tahunan yang disambut sejak tahun 2002 selaras dengan sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dan ia merupakan penganjuran HKN kali ke-22.
Tema penganjuran HKN bagi tahun 2024 adalah menggunakan tema yang sama seperti tahun 2023 iaitu “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi” sinonim dengan aspirasi Kerajaan MADANI kerana koperasi adalah model yang baik untuk menggerakkan ekonomi dalam kalangan akar umbi.
“Data statistik koperasi di negeri Kedah sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 1,003 koperasi didaftarkan dengan jumlah keanggotaan seramai 285,302 orang.
“Manakala jumlah syer dan yuran berjumlah RM357.98 juta dan jumlah aset bernilai RM754 juta. Perolehan pendapatan koperasi sebanyak RM425.96 juta,” katanya lagi.
Sementara itu, HKN 2024 kali ini diisi dengan penyampaian anugerah koperasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang tahun 2024 bagi lima kategori anugerah iaitu Anugerah Koperasi Komuniti, Anugerah Koperasi Harapan, Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik dan Anugerah Tokoh Koperasi.
Program menarik yang lain antaranya ialah ekspo dan pameran produk, Pocket Talk, pertandingan futsal, ceramah agama, jualan dan pameran produk koperasi serta Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU).
“Kerajaan melalui gerakan koperasi amat prihatin dalam membantu rakyat khususnya golongan B40 yang dihimpit oleh kenaikan harga barangan di pasaran,” tambah kenyataan itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |