Berita Semasa

PETRA pelawa syarikat berkelayakan bida sertai ENEGEM

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.

Sehubungan itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform tersebut.

“Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura,” kata PETRA dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM ini akan dilaksanakan berpandukan Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES) terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atau Single Buyer mulai esok.

Intipati pelaksanaan proses bidaan bagi pembelian bekalan elektrik hijau di bawah projek rintis ini adalah:

a) skim perintis ini adalah terbuka kepada Pembida Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang mempunyai lesen penjanaan dan/atau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura;
b) Pembida TBB yang berminat perlu berdaftar dengan Single Buyer untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan;
c) Pembida TBB yang memohon untuk didaftarkan akan dinilai menerusi proses pra-kelayakan. Mereka yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian Bekalan Elektrik Hijau pada hari bidaan; dan
d) pembida yang berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu (RE Supply Agreement) dengan Single Buyer untuk urusniaga bekalan elektrik hijau yang telah berjaya dibida.

“PETRA yakin pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button