Jenayah & MahkamahBerita Semasa

Operasi lombong Bitcoin haram kini beroperasi ke unit kediaman

SERI MANJUNG – Sindiket melombong Bitcoin kini menjadikan kawasan perumahan baharu yang kurang berpenghuni sebagai modus operandi operasi bagi mengelak dikesan pihak.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, taktik itu dikesan semasa serbuan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan, pagi tadi.

Katanya, sindiket akan menyewa kediaman di kawasan tersebut dan mengubah suai pendawaian elektrik untuk disambungkan ke mesin Bitcoin.

“Selain menyewa rumah, sindiket ini juga menyasarkan premis perniagaan dalam kawasan perumahan yang sama di mana aktiviti melombong bitcoin dijalankan 24 jam,” katanya dalam hantaran video di aplikasi Tiktok.

Dalam operasi yang diketuai oleh ST, dua premis perniagaan dan 14 unit perumahan diperiksa di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Akmal Nasrullah memaklumkan, premis pertama yang diserbu menemukan 24 mesin melombong bitcoin, manakala premis kedua menggunakan 60 mesin yang dianggarkan telah beroperasi sejak setahun lalu dengan anggaran kerugian bulanan caj elektrik sekitar RM90,000.

“Selain itu, 14 rumah yang diperiksa didapati mempunyai 10 mesin dengan kadar kerugian elektrik RM10,000 setiap rumah, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM230,000 setiap bulan akibat sambungan haram ini,” katanya lagi.

Turut hadir dalam operasi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood.

Akmal Nasrullah berkata, sindiket tersebut kini beralih kepada sewaan unit kediaman selepas premis perniagaan sering diserbu pihak berkuasa.

“Mereka menggunakan pemampat pendingin hawa untuk menutup ubah suai pendawaian di rumah, manakala di premis perniagaan, kotak besi digunakan sebagai penyamaran.

“Daripada dua tiga rumah yang kita serbu tadi, kesemuanya menggunakan taktik yang sama. Sindiket ini juga menjadikan bilik operasi melombong dilengkapi dinding kedap bunyi bagi mengelak bunyi mesin didengari jiran,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes mencuri elektrik oleh pelombong Bitcoin semakin serius dengan peningkatan kes yang ketara. Dalam tempoh lima tahun, kerugian akibat kecurian tenaga melalui perlombongan Bitcoin mencecah RM3.4 bilion, dengan RM477 juta dicatatkan pada tahun lepas sahaja.

“Sehingga Jun lepas, kerugian akibat kecurian arus elektrik telah mencapai RM200 juta dan dijangka meningkat jika tidak dibanteras segera.

“Kerugian ini memberi kesan besar kepada negara dan rakyat. Sambungan elektrik haram bukan sahaja merugikan TNB tetapi juga menimbulkan risiko kebakaran sebanyak 90 peratus kerana tidak mengikut spesifikasi keselamatan.

“Tindakan pencegahan penting untuk mengurangkan ketirisan dan memastikan kelestarian pengurusan bekalan elektrik negara.

“Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan premis atau rumah yang mencurigakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button