KJ puas hati Lokman Adam minta maaf, bayar pampasan
KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa puas hati selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersetuju untuk memohon maaf dan membayar pampasan yang tidak didedahkan kepada bekas Menteri Kesihatan itu.
“Saya berterima kasih kepada Yang Arif Hakim (Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan), saya berpuas hati dia (Lokman) minta maaf dan setuju untuk bayar seperti yang dipersetujui,” kata Khairy memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Khairy Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai KJ berada di Mahkamah Tinggi dengan memakai kot berwarna hitam, namun Lokman tidak hadir dan hanya diwakili peguamnya, Logen Eskander.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy Jamaluddin, 48, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.
Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.