Politik

Pemuda UMNO mampu bawa parti bangkit semula – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri yakin kepimpinan Pemuda UMNO hari ini mampu membawa parti itu untuk bangkit semula selepas kekalahan teruk dalam beberapa pilihan raya yang lalu.

Bekas Perdana Menteri Kesembilan itu berkata, sempena 74 tahun penubuhan sayap parti itu, beliau yakin Pemuda UMNO  akan terus relevan dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

“Politik saya bermula dengan Pemuda UMNO. Ia mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, meneraju pentadbiran negara.

“Pemuda sifatnya berani. Tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Pemuda juga mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati oleh anak muda.

“Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali.

“Selamat Menyambut Ulang Tahun Pemuda UMNO ke-74. Teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button