Berita Semasa

PM arah Pusat Kanser Sarawak dibangunkan segera

KUCHING – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen bahawa Pusat Kanser Sarawak akan dibangunkan dengan secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, langkah itu penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk di negeri itu.

“Saya gesa Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta semua kementerian dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Sarawak secara berkesan. Saya turut bersetuju agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

“Projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Sarawak di luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu Anwar mengadakan lawatan singkat ke Sarawak.

Dalam lawatan itu beliau turut mempengerusikan Majlis Mesyuarat Pembangunan Sarawak untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi rakyat Sarawak hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat itu membincangkan pelbagai isu, termasuk cabaran dan perancangan untuk memajukan infrastruktur, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan rakyat Sarawak.

“Antaranya mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian.

“Malah, lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button