Berita Semasa

Covid-19 : SOP kemasukan pengembara diumum Selasa, pelancong China masuk Ahad

PUTRAJAYA – Sebarang keputusan atau prosedur berhubung kemasukan pelancong luar negara ke negara ini akan diperjelas Selasa ini, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Dr. Zaliha ketika ditanya mengenai kawalan pintu masuk negara berkata, perkara itu akan diumumkan dalam satu taklimat khas selepas perbincangan memperkemaskan langkah bersama pemegang-pemegang taruh lapangan terbang dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan taklimat bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham berhubung Covid-19 pada Selasa ini,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Noor Abdullah.

Negara dijangka menerima kemasukan lebih ramai pelancong terutama dari China susulan pembukaan sempadan wilayah-wilayah negara pada Ahad ini.

Ditanya kemungkinan KKM akan mengikut langkah kerajaan negeri Sabah yang mewajibkan saringan kemasukan pelancong China, Dr Zaliha berkata, perkara itu akan dijawab kemudian.

Terdahulu, Dr. Zaliha dalam ucapannya berkata, kerajaan memandang serius kemunculan varian baru dan akan memperkukuhkan usaha pencegahannya.

Antara langkah yang diberi keutamaan dalam penilaian perkembangan varian baharu Covid-19 adalah melalui kerjasama rapat dengan Thailand dan Singapura untuk memperkukuh strategi berdasarkan analisis data.

“Kita juga akan mengukuhkan pemantauan di pintu masuk negara melalui saringan yang mana mereka yang demam akan dikenakan kuarantin.

“Kita juga mengambil sampel rawak kumbahan dari semua pesawat luar negara, bukan sahaja China untuk mengesan varian dan sub varian baharu,” katanya.

Sementara itu, Dr. Zaliha turut mengumumkan 4,914 penempatan kakitangan baharu kementerian itu bagi tahun 2023 melibatkan 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

“Permohonan untuk semua perjawatan ini akan dibuka bermula 6 hingga 21 Januari ini,” katanya.

Pada majlis itu, KKM turut melancarkan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan yang menggunakan preskripsi ubat bertulisan braille.

Untuk rekod, Malaysia menjadi negara terawal di rantau ini yg memperkenalkan inisiatif itu.

Show More

Related Articles

Back to top button