Bisnes & Ekonomi

Jualan Gudang Bazar Aidilfitri Sabella: 300,000 baju raya disediakan, tawaran harga serendah RM30

KUALA LUMPUR – Jenama pakaian, Sabella yang sinonim dengan tagline ‘Baju Tanpa Gosok’ menawarkan lebih 300,000 pakaian menerusi jualan Gudang Bazar Aidilfitri Sabella yang bakal berakhir pada 7 April ini.

Menurut Pengasasnya, Siti Fatimah Abd Samad, jualan tersebut adalah bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami tawarkan pada harga serendah RM30 iaitu harga yang sangat berbaloi kerana kami faham akan kekangan rakyat Malaysia di mana ada yang tidak mampu membeli baju raya, malah pelanggan yang membeli dua pasangan akan menerima sepasang baju kurung secara percuma.

“Jualan gudang ini diadakan dari 15 Mac hingga 7 April dan berlangsung di lima buah lokasi iaitu di Sabella HQ, Batu Caves, Mydin Tunjong, Kelantan, Terengganu Equestrian Resort, Terengganu, Dewan Teratai, Shah Alam dan Masjid UKM, Bangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemberian 1,000 Pasang Baju Raya di Ibu Pejabat Sabella di Batu Caves, di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengasas Noir Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu selaku penyumbang 1,000 pasang baju raya tersebut.

Mengulas lanjut, Siti Fatimah berkata, pihaknya optimis dengan sasaran jualan gudang habis terjual pada kadar 70 hingga 80 peratus.

Jelas beliau, koleksi Sabella yang mementingkan aspek kesederhanaan masih lagi menjadi pilihan buat mereka yang mahu tampil dengan gaya sederhana Aidilfitri ini.

“Sabella mempunyai peminat tersendiri dan masih mengekalkan ciri-ciri pakaian yang ‘simple’ dan boleh dikatakan 90 peratus baju Sabella tak perlu digosok jadi ia memudahkan pemakai.

“Saya juga yakin kos RM15 juta yang dilaburkan untuk jualan gudang ini mampu memberi pulangan di mana kami sasarkan 70 peratus akan habis terjual menjelang Aidilfitri,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button