Berita SemasaBisnes & Ekonomi

AIM tambah dana kepada RM2.61 bilion bantu 340,000 usahawan mikro tahun ini

KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperincikan matlamat mereka untuk menyalurkan pinjaman berjumlah RM2.61 bilion kepada kira-kira 340,000 usahawan mikro di seluruh negara.

Menurut Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz, pada tahun lalu, pihaknya telah berjaya menyalurkan sejumlah RM2.6 bilion kepada lebih kurang 320,000 usahawan.

“Dalam tahun ini, jumlah pembiayaan meningkat susulan kelulusan penambahan dana sebanyak RM100 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024.

“Dana tambahan ini dijangka memberi bantuan kepada kira-kira 20,000 usahawan baru dengan pinjaman antara RM3,000 hingga RM5,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AIM, Bandar Sri Damansara.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R Ramanan telah mengadakan sesi lawatan dan taklimat operasi AIM, turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Shamir menyatakan bahawa AIM akan memulakan pelaksanaan penyaluran dana tambahan ini mulai bulan Mac.

Beliau yakin bahawa permohonan dari pihak usahawan akan meningkat menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

“Selain itu, kami akan menggalakkan setiap cawangan AIM untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan Ahli Parlimen dan wakil rakyat bagi menangani masalah kemiskinan di kawasan masing-masing, seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri,” tambahnya.

Shamir juga menyatakan bahawa sejak beroperasi selama 37 tahun, hampir kesemua usahawan mikro berjaya membayar pinjaman mereka tepat pada masanya, dan pada tahun lalu, 99.91 peratus daripada 320,000 peminjam telah menjelaskan pinjaman mereka.

“Hanya 0.09 peratus atau kira-kira 240 usahawan yang gagal membuat pembayaran. Oleh itu, AIM telah melaksanakan program khas bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan keluar daripada lingkaran kemiskinan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button