BlackBerry lancar Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber di Malaysia
CYBERJAYA – Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) yang dilancarkan di sini hari ini, merupakan satu komitmen jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan pendidikan dan pertahanan dalam keselamatan siber negara dan rantau ASEAN secara umumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya ketika melancarkan pusat itu berkata, inisiatif dengan BlackBerry ini mempunyai tumpuan khusus bagi meningkatkan perkongsian menangani ancaman perisik serta memupuk kerjasama serantau dalam menghentikan ancaman keselamatan dan jenayah siber.
“Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber berpotensi untuk menjadi destinasi antarabangsa dalam menangani ancaman siber yang muncul. Kita boleh berkolaborasi antara universiti Malaysia dan Kanada, institusi penyelidikan dan kemahiran untuk berkongsi pengetahuan, perisikan ancaman dan bersama-sama membangunkan kaedah dan strategi untuk mengukuhkan daya tahan siber nasional dan serantau”, katanya dalam ucapan perasmian pusat tersebut di Cyberjaya hari ini.
Ujarnya, pusat baharu ini bertujuan untuk menyampaikan latihan keselamatan siber yang luar biasa dan perisikan ancaman siber untuk membantu Malaysia dan rakan kongsi serantau dalam mencegah, menghalang dan bertindak balas terhadap ancaman siber yang dihadapi oleh kerajaan dan organisasi di rantau Indo-Pasifik.
Dalam pada itu, turut hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri Promosi Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada, Mary Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sementara itu, selain pelancaran pusat tersebut BlackBerry juga melancarkan Kurikulum Keselamatan Siber BlackBerry yang baharu.
Kurikulum tersebut menawarkan berbagai kursus dan pensijilan yang diiktiraf secara global untuk membantu mengembangkan tenaga kerja dan ekosistem keselamatan siber yang mahir di Malaysia dan serantau.
Katanya, program itu ditubuhkan bagi mengatasi kekurangan profesional keselamatan siber yang telah mencapai sehingga 12 ribu orang, serta meluaskan peluang kerjaya di negara ini.