KPKT akan pastikan harga rumah mampu milik tidak terjejas
CYBERJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan harga rumah mampu milik di bawah kendaliannya tidak terjejas susulan pelarasan harga diesel, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, harga rumah mampu milik tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dan dikawal harganya supaya tidak melebihi RM300,000 seunit.
“Kita jaga (harga) sebab ia ada dasar dan harga telah ditetapkan, malah kita akan kawal secara terus.
“Antara projek perumahan mampu milik di bawah seliaan KPKT termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA,” katanya.
Aiman Athirah berkata demikian ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang bersama KPKT dan Bomba 2024, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Aiman Athirah menambah, kenaikan harga rumah bergantung kepada bentuk kediaman yang dibina dan dijual secara terbuka oleh pemaju, bukannya projek perumahan di bawah kawalan KPKT.
“Bagi rumah yang pembinaannya sudah diluluskan, ia terikat dengan perjanjian jual beli dan tidak boleh diubah. Sekiranya ada kenaikan harga rumah mampu milik, pemaju perlu kemukakan permohonan kepada kerajaan dan setakat ini memang kita kawal harga rumah terbabit,” katanya lagi.