Berita Semasa

Pengusaha hotel digesa selaras waktu daftar masuk dan keluar – King Sing

Pastikan pengguna dapat waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam

KUALA LUMPUR – Pengusaha hotel digesa supaya menyelaraskan semula waktu daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan.

Katanya, langkah ini juga akan dapat memastikan pengguna merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak. Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata. Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati.

“Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira dengan keuntungan yang berlipat kali ganda.

“Sebaliknya, jika pelanggan menerima pengalaman penginapan tidak memuaskan, ia memberi gambaran pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Dalam hantaran yang sama, King Sing turut memberi jaminan untuk membantu pengusaha hotel menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.

Untuk rekod, isu ini dibangkitkan para pengusaha sebagai punca tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama, menyebabkan mereka bimbang untuk melanjutkan tempoh penginapan.

“Pada masa ini, industri perhotelan tidak menikmati keutamaan apabila memohon pengambilan pekerja asing. Malah bilangan negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing amat terhad dan menjejaskan tenaga kerja.

“Saya akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung perkara ini. Ini termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus tanpa melalui perantara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button