Berita Semasa

Lawatan PM Anwar buka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia-Jerman

KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac ini dilihat telah membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik antara Malaysia-Jerman yang sekian lama terjalin.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Yahya Mat Sahri berkata, hubungan politik antara Malaysia dan Jerman pada asasnya berdasarkan hubungan ekonomi intensif kedua-dua negara.

“Malaysia yang juga rakan perdagangan terbesar Jerman dikalangan negara ASEAN, dilihat sebagai bukan sahaja sebagai rakan kongsi penting dan stabil di Asia Tenggara, malah ahli terkemuka ASEAN dan wakil dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut mengikuti lawatan tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Misi menarik pelaburan dan memperkukuh kerjasama teknologi Malaysia-Jerman

Menurut Mohd Yahya, pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (US$13.62 bilion).

Kata beliau, Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Semasa di Berlin, Anwar telah menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelstandische Wirtschaft – BVMW).

“Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi dari Eropah, sesi wawancara dengan media tempatan selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di Jerman

“Sepanjang lawatan Anwar telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai syarikat terkemuka Jerman Volkswagen AG, Infoneon Technologies, Melexis dan Airbus AE. dan beliau juga melawat kilang Siemens,” katanya.

Perbincangan dengan Cansellor Jerman Olaf Scholz : Anwar bidas dasar barat sokong rejim Zionis

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata, Anwar juga telah mengadakan kunjungan hormat ke Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu Canselor Jerman, Olaf Scholz.

“Kedua-dua pemimpin telah membincangkan perkembangan hubungan Malaysia-Jerman merangkumi kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Pada sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Isnin, Anwar mengkritik negara Barat kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.

“Menurut Perdana Menteri, dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan,” ujarnya lagi.

Ramadan di Jerman

Mengulas mengenai pertemuan Perdana Menteri dengan masyarakat Islam di Jerman, Mohd Yahya berkata, keprihatinan Anwar terserlah ketika beliau menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih sambil diiringi oleh Duta Besar Turki ke Jerman Ahmet Basar Sen.

“Ini memperjelaskan hubungan akrab Anwar dengan pemimpin Turki Presiden Recep Tayyip Erdogan,” katanya lagi.

Mohd Yahya berkata, Ramadan di Jerman menyaksikan Anwar beramah mesra dengan komuniti Islam disana, sekali gus mendapatkan gambaran tentang perkembangan umat Islam di sana dan sudah pasti membicarakan situasi Palestin di Gaza.

“Anwar memberikan penegasan bahawa bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta.

“Sebagai tanda bersilatulrahim dengan umat Islam Jerman, Anwar turut menyumbangkan 12 naskhah al-Quran dimana sebuahnya adalah cetakan khas kepada pengurusan masjid yang dilawatinya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button