Inisiatif Harmoni Madani dilancar Jun ini – Aaron
KEPALA BATAS – Sebagai satu usaha meningkatkan dan memperkukuh keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum serta penganut agama di negara ini, Kementerian Perpaduan akan melancarkan Inisiatif Harmoni Madani pada Jun tahun ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu bukan sahaja bagi memperkaya identiti nasional menerusi kesedaran terhadap kepelbagaian agama dan budaya, tetapi juga untuk turut menyatukan rakyat.
“Menerusi inisiatif itu, Kementerian Perpaduan akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti seperti bicara harmoni, wacana memupuk perpaduan dalam kepelbagaian agama, jejak harmoni, dokumentasi harmoni, sambutan hari toleransi sedunia dan pelbagai lagi.
“Kepelbagaian agama dan budaya ialah aset terbesar negara dan Malaysia Madani menunjukkan bahawa kepelbagaian ini bukan sahaja memperkaya identiti nasional, tetapi turut menyatukan rakyat,” katanya, hari ini.
Aaron berkata demikian selepas selepas merasmikan Dialog Harmoni Peringkat Pulau Pinang di Dewan Milenium, di sini hari ini.
Dialog berkenaan yang mengangkat tema ‘Nilai-nilai Murni Pemangkin Perpaduan dan Keharmonian Masyarakat’ dikendalikan oleh moderator yang juga penceramah bebas, Ibrahim Yusoff.
Ahli panel pula terdiri daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor; Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr P Sivamurugan; Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr D Sarjit Singh dan Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia (PDM), Loh Pai Ling.
Aaron berkata, dialog itu bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menangani isu-isu yang berkaitan dengan keharmonian antara penganut agama, meningkatkan toleransi dan mengukuhkan pemahaman.
Selain itu, katanya, ia turut memberi penekanan terhadap budaya saling menghormati terhadap kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Malaysia yang berbilang etnik.
“Objektif utama kita adalah untuk mencipta platform dialog dan diskusi dapat berlangsung dalam suasana yang kondusif, mengeratkan persaudaraan serta memahami dan menghargai perbezaan sebagai kekuatan yang memperkukuh perpaduan.
“Kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan setiap rakyat merasai keadilan, kesaksamaan dan keamanan dalam mengekspresikan identiti serta kepercayaan mereka, hal ini selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada perpaduan nasional kita,” katanya lagi.
Siri dialog ini akan turut diadakan di Kuala Lumpur dan Sabah pada Jun dan September nanti.